Laman Web Rasmi Majlis Daerah Simunjan
Daerah Simunjan merupakan salah sebuah daerah di bawah pentadbiran Bahagian Samarahan. Majlis Daerah Simunjan kini beroperasi di Pusat Pentadbiran Baharu Gunung Ngeli, yang terletak kira-kira 176 kilometer dari Bandar Kuching. Kawasan pentadbiran Majlis Daerah Simunjan meliputi keluasan 395.6 kilometer persegi, seperti yang diwartakan dalam The Sarawak Government Gazette Part II, Vol. LXXVII, bertarikh 15 Mac 2022, No. 19, muka surat 118.
Siaran Akhbar, 06 May 2026
SANTUBONG, SARAWAK – Kelab Sukan Elektronik Majlis Daerah Simunjan dengan kerjasama Majlis Daerah Simunjan dan Majlis Daerah Serian telah menghantar seramai 14 wakil, termasuk pengurus pasukan, Encik Marlon Dass anak Noel, bagi menyertai Karnival Esport MAKSAK Sarawak 2026 yang berlangsung di Centex Santubong dari 1 hingga 3 Mei 2026. Penyertaan ini mencerminkan komitmen pihak terlibat dalam memperkasa pembangunan sukan elektronik dalam kalangan penjawat awam di peringkat negeri, di samping mengasah bakat serta memupuk semangat berpasukan. Sepanjang karnival tersebut, kontinjen berjaya mencatat beberapa pencapaian membanggakan: Bagi acara Mobile Legends: Bang Bang (MLBB), pasukan berjaya menempatkan diri dalam kelompok lapan terbaik (Top 8) yang diwakili oleh Encik Muadzam bin Razali, Encik Faziman bin Ibrahim, Encik Roma anak Ogos, Encik Mohd Syahlan bin Samsudin, Encik Jeremy Glenowen anak Rahnie dan Encik Frankent Walter anak Sebie. Bagi acara Tekken, Encik Desmond Yeo Khang Ming dan Encik Muhd Amirul Zaki bin Hamzah menamatkan saingan di peringkat kumpulan. Dalam acara FIFA, Encik Haji Mohd Azwan bin Juperi mara ke peringkat suku akhir, manakala Encik Rudison anak Sering dan Encik Abang Ramzie bin Ena menamatkan saingan di peringkat kumpulan. Dalam acara Gran Turismo 7 (Time Attack Open Single), Encik Haji Mohd Azwan bin Juperi berjaya menduduki tempat keenam, manakala Encik Rudison anak Sering menamatkan saingan di peringkat kumpulan. Bagi acara Nintendo Switch Badminton (Wanita Solo), Cik Sofia binti Sebli berjaya meraih tempat ketiga. Beliau sekali lagi mencatat kejayaan apabila bergandingan bersama Encik Haji Mohd Azwan bin Juperi dalam acara Nintendo Switch Volleyball (Beregu Campuran) dan berjaya meraih tempat kedua. Bagi acara PUBG Mobile, pasukan yang diwakili oleh Encik Claudius Ravi a/l Kaniasen, Encik Faziman bin Ibrahim, Encik Roma anak Ogos, Encik Mohd Syahlan bin Samsudin dan Encik Muadzam bin Razali berjaya menamatkan saingan di tempat kelapan. Secara keseluruhan, Kelab Sukan Elektronik Majlis Daerah Simunjan berjaya menduduki tempat keempat keseluruhan, satu pencapaian yang amat membanggakan. Penyertaan ini bukan sahaja mengharumkan nama Majlis Daerah Simunjan dan Majlis Daerah Serian, malah membuktikan bahawa sukan elektronik mampu menjadi platform kompetitif yang sihat dan berprestij dalam kalangan penjawat awam di Sarawak. Pihak kelab berharap pencapaian ini akan menjadi pemangkin kepada lebih banyak kejayaan pada masa akan datang.
Siaran Akhbar, 09 April 2026
SIMUNJAN, 9 April 2026 – Satu operasi kawalan anjing liar telah dilaksanakan pada 8 hingga 9 April 2026 oleh Majlis Daerah Simunjan dengan kerjasama pelbagai agensi berkaitan bagi memastikan keselamatan dan kesejahteraan penduduk setempat terus terpelihara. Operasi tersebut melibatkan kerjasama daripada Majlis Bandaraya Kuching Selatan, Majlis Perbandaran Kota Samarahan, Majlis Daerah Serian, Jabatan Perkhidmatan Veterinar Samarahan, Polis Daerah Simunjan serta Ahli Majlis Majlis Daerah Simunjan. Sepanjang operasi yang dijalankan di sekitar daerah Simunjan, sebanyak 34 ekor anjing liar telah berjaya ditangkap. Pihak Majlis Daerah Simunjan merakamkan penghargaan kepada semua agensi yang terlibat atas komitmen dan kerjasama yang diberikan dalam menjayakan operasi ini. Usaha seumpama ini akan diteruskan dari semasa ke semasa bagi mengawal populasi anjing liar serta menjamin keselamatan awam.
Siaran Akhbar, 06 May 2026
Dengan kerjasama CIMB, kini dibuka khas untuk peniaga berlesen di bawah Majlis Daerah Simunjan. Kenapa pilih Akaun Microseller CIMB? • Khas untuk usahawan mikro • Mudah mengurus transaksi perniagaan • Rekod transaksi lebih tersusun (memudahkan urusan cukai dan laporan) • Lebih selamat dan profesional • Akses mudah melalui aplikasi CIMB OCTO Kelebihan Utama: • Memisahkan kewangan perniagaan dan peribadi • Meningkatkan imej profesional perniagaan • Akses kepada produk dan penyelesaian perniagaan CIMB Lokasi Booth: Pasar Simunjan Tarikh: 13 dan 14 Mei 2026 Sebarang Pertanyaan: Puan Dianna: 014-5898310 Puan Angelletti: 013-3941399 Pejabat MDS: 082-805377 Jangan lepaskan peluang untuk mengurus perniagaan anda dengan lebih sistematik dan profesional.
Siaran Akhbar, 06 May 2026
Majlis Daerah Simunjan membuka peluang kepada penduduk tempatan untuk memohon lot perniagaan di Pasar Tamu @ Boiler Market, Simunjan. Kekosongan Lot: • Pasar Basah – 24 unit • Pasar Sayur – 31 unit Syarat Permohonan: • Terbuka kepada penduduk Simunjan sahaja • Berumur 18 tahun ke atas • Warganegara Malaysia Dokumen Diperlukan: • Salinan Kad Pengenalan • Dua (2) keping gambar pasport • Kertas Cadangan Jualan Tarikh Tutup Permohonan: 15 Mei 2026 Borang Permohonan: Boleh didapati di Kaunter Perlesenan, Majlis Daerah Simunjan Waktu Operasi: Isnin – Jumaat | 8.00 pagi – 3.30 petang Sebarang Pertanyaan: Telefon: 082-805377 E-mel: mdssimu@sarawak.gov.my Rebut peluang ini untuk memulakan atau mengembangkan perniagaan anda.
Siaran Akhbar, 02 March 2026
Tahukah anda? Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) akan melaksanakan Banci Ekonomi 2026 (BE2026). Banci Ekonomi 2026 (BE2026) merupakan banci ke-6 yang dilaksanakan setiap lima tahun sekali sejak tahun 2000. Banci ini bertujuan untuk mengumpul data yang komprehensif meliputi keseluruhan aktiviti ekonomi negara, termasuk sektor perdagangan borong dan runcit. Pelaksanaan BE2026 turut merangkumi pertubuhan perniagaan serta pertubuhan tidak berasaskan keuntungan. Data yang dikumpulkan akan menjadi sumber rujukan penting sebagai nadi ekonomi rakyat dan asas dalam merancang pembangunan negara yang lebih berkesan serta mampan. Untuk maklumat lanjut, sila layari media sosial Facebook Jabatan Perangkaan Malaysia atau akses pautan berikut:- 1. Pengenalan BE2026 2. Pelaksanaan Operasi BE2026 3. Objektif BE2026