Polls
Announcements

Berita

Vaksin COVID-19: 15,000 penduduk daerah Bau sudah daftar
Tarikh : 26 Feb 2021  Sumber Berita: SarawakVoice
 

BAU: Kira-kira seramai 15,000 penduduk di Daerah Bau sudah mendaftar diri bagi mendapatkan vaksin COVID-19 setakat ini.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tasik Biru, Dato Henry Harry Jinep berkata, dijangka seramai 40,000 orang dari kawasan Bau akan mendaftar dan maklum balas penduduk daerah tersebut amat menggalakkan.

Menurutnya, beliau sendiri bersama ADUN Serembu, Miro Simuh dan Pegawai Daerah Bau, Anielia Siam akan mengambil suntikan vaksin COVID-19 di Klinik Kesihatan Singai pada Sabtu ini.

“Respon yang kita terima setakat ini amat menggalakkan dan kita menjangkakan mendaftar seramai 40,000 orang.

“Populasi penduduk Bau adalah seramai 62,000 orang dan mungkin sebahagian daripadanya mengambil vaksin melalui tempat mereka bekerja dan mengikut tempat kediaman mereka,” katanya semasa Program Pengagihan Pelitup Muka Kawasan DUN Tasik Biru pada Khamis.

Turut hadir ialah Pegawai Daerah Bau, Anielia Siam dan Pegawai Khas Kementerian Perumahan Dan Kerajaan Tempatan (KPKT) untuk Sarawak, Voon Shiak Ni.

Dalam pada itu, beliau menyeru rakyat agar tidak bimbang dengan pemvaksinan tersebut meskipun terdapat banyak komen negatif daripada pihak yang kurang bertanggungjawab.

“Program hari ini lebih kepada kesedaran terhadap pemvaksinan COVID-19. Ia lebih kepada memberi sokongan moral kepada masyarakat Bau mengenai pentingnya pemvaksinan COVID-19,” ujarnya.