Polls
Announcements

Berita

COVID-19: 14 kes positif dari Kluster Jalan Ho Pin
Tarikh : 26 Feb 2021  Sumber Berita: Utusan Borneo
 

KUCHING: Satu kluster baharu jangkitan COVID-19 diisytiharkan di Sarawak hari ini  iaitu Kluster Jalan Ho Pin di Daerah Samarahan. 

Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri Sarawak (JPBNS) dalam kenyataan berkata kluster ini merupakan kluster komuniti yang melibatkan Daerah Samarahan, Serian dan Kuching. 

“Perebakan jangkitan COVID-19 dipercayai berlaku melalui aktiviti kunjung mengunjung pada 11 hingga 14 Februari 2021 semasa sambutan Tahun Baru Cina (TBC) di beberapa rumah persendirian di sekitar tiga daerah ini. 

“Kes indeks kepada kluster ini adalah kes ke-7,636 iaitu seorang wanita tempatan berumur 22 tahun yang dikesan melalui saringan individu bergejala pada 18 Februari 2021. Hasil siasatan lanjut dan saringan ke atas kontak-kontak sosial dan tempat kerja kepada kes indeks, tambahan 13 kes positif COVID-19 telah dikesan,” katanya. 

Tambah JPBNS, sehingga hari ini (25 Februari 2021), sejumlah 120 orang telah disaring dimana 14 kes didapati positif termasuk kes indeks, 41 individu negatif dan 65 individu masih menunggu keputusan. 

Dengan penambahan satu kluster baharu ini, hari ini terdapat 26 kluster COVID-19 masih aktif di Sarawak. 

Kluster aktif ialah Kluster Jalan Muhibbah, Betong; Kluster Emperoh Jambu, Kuching; Kluster Sungai Bakong, Meradong; Kluster Jalan Green, Kuching; Kluster Kejatau, Sri Aman; Kluster Jan Yong, Kapit; Kluster Geronggang, Sibu; Kluster Mas Merah, Sibu dan Kluster Univista di Samarahan. 

Juga masih aktif Kluster Kampung Sungai Maong, Kuching; Kluster Gelong, Kapit; Kluster Kidurong Dua, Bintulu; Kluster Nanga Lijan, Julau; Kluster Seruas, Beluru; Kluster Sebangkoi, Sri Aman; Kluster Jun Heng, Bintulu; Kluster Bintang Daily, Meradong dan Kluster Jalan Pengiran, Matu. 

Lagi kluster masih aktif Kluster Tabong, Bau; Kluster Indah Riang, Kuching; Kluster Bedayan, Serian; Kluster Rakut, Miri; Kluster Bukit Sekubong, Sebauh; Kluster Jelita, Miri; Kluster Pasai, Sibu dan Sub-Kluser Tangap di Subis.