Polls
Announcements

Berita

Jangan biar anak berkeliaran, elak COVID-19
Tarikh : 26 Feb 2021  Sumber Berita: Utusan Borneo
 

SIBU: Penyelaras Jawatankuasa Pengurusan Bencana Bahagian Sibu Dr Annuar Rapaee (gambar) menasihati ibu bapa di Zon Sentosa agar tidak membiarkan anak-anak mereka bebas berkeliaran.

Ini kerana menurut Dr Annuar, kes-kes positif di kawasan Sentosa turut melibatkan kanak-kanak atau golongan muda.

"Saya ada mendengar anak-anak ini berkeliaran di sekitar kampung memandangkan mereka tidak pergi ke sekolah. Tolong jaga pergerakan anak-anak agar tidak bebas berkeliaran atau menaiki motosikal kerana ini menyebabkan COVID-19 merebak di sekitar kampung.

"Pastikan anak-anak sentiasa berada di rumah ketika ini," ujarnya menerusi sesi siaran langsung Facebook kemaskini jumlah dan lokasi jangkitan COVID-19 di sini, hari ini (25 Feb).

Zon Sentosa yang merupakan antara kawasan terjejas COVID-19, hari ini mencatatkan dua kes positif menjadikan jumlah keseluruhan 114 kes.

Keputusan sama ada Zon Sentosa akan dikenakan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) akan dimaklumkan.

Sementara itu, Sibu hari ini mencatatkan 80 kes positif berbanding 181 kes semalam. Daripada 80 kes, 39 kes dilaporkan di zon-zon bidang kuasa Majlis Perbandaran Sibu (MPS), 21 kes di Sibu Jaya dan 20 kes di zon-zon bidang kuasa Majlis Daerah Luar Bandar Sibu (MDLBS).

"Secara keseluruhan keadaan di Sibu masih belum boleh dikatakan baik ataupun bertambah baik. Walaupun kes hari ini kurang, namun kes masih ada. Kita harus teruskan SOP," jelasnya yang juga ADUN Nangka.
 
Menjawab soalan sama ada gelandangan di Sibu akan diberi suntikan vaksin, Dr Annuar berkata golongan terbabit juga patut diberi vaksin.

"Saya rasa mereka patut diberi juga. Sedangkan pekerja asing kita beri percuma. Masalahnya jika gelandangan ini tiada berada di situ lagi, macam mana kita mahu berikan suntikan dos kedua," ujarnya.
 
Ditanya sama ada beliau bersetuju menjadi golongan pertama divaksin, Dr Annuar berkata beliau sedia untuk menerima suntikan vaksin terbabit.

"Jika tidak setuju, bagaimana saya boleh menyuruh orang lain mendapatkan vaksin ini," jelas beliau sambil menambah sejumlah 13,000 dos vaksin COVID-19 telah tiba di Farmasi Bahagian Sibu petang tadi.