Berita

Wong seru usaha perangi COVID-19 di Sibu diperketat
Tarikh : 22 Feb 2021  Sumber Berita: The Borneo Post
 

SIBU: Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pelawan David Wong mengesa kerajaan mengetepikan isu-isu politik dan mengumpulkan semua sumber kekuatan untuk memerangi pandemik COVID-19 di Sibu dengan lebih ketat.

Beliau menegaskan bahawa penduduk Sibu telah berhadapan dengan wabak COVID-19 selama berminggu-minggu, namun belum menunjukkan sebarang penurunan (kes) sebaliknya semakin memburuk.

“Kami bersedia bekerjasama dengan kerajaan.

“Ya secara peribadi, mereka terbuka untuk kita, tetapi tidak boleh dilakukan secara tertutup, ia mesti berada di platform rasmi dengan semua parti politik.

“Kumpulkan semua sumber kekuatan dan kita akan melihat apa yang dapat dilakukan bersama-sama untuk membendung wabak ini di Sibu,” katanya ketika ditemui pemberita semasa meninjau operasi pengesanan kes aktif (ACD) di tempat letak kereta Majlis Perbandaran Sibu (MPS) di Jalan Wong Nai Siong, semalam.

Katanya, Sibu sendiri menyumbang sekitar dua pertiga daripada jumlah kes dan telah menjadi pusat wabak di negeri ini.

Beliau yakin bahawa masalah itu dapat diselesaikan sekarang jika ada tindakan lebih ketat.

Beliau juga berkata, salah satu kelemahan kerajaan adalah keputusan ujian saringan COVID-19 yang terlalu lambat sehingga mengakibatkan kelewatan pengesanan kontak rapat.

Pada masa itu katanya, virus itu sudah mulai tersebar di banyak tempat.

“Saya memikirkan alasan mengapa kita tidak dapat membendung penularan virus ini kerana pengesanan kontak rapat terlalu lambat dan itulah sebabnya virus terus menyebar.

“Sekiranya kita tidak dapat menambah baik sistem ini dan jika kita dapat melakukan 5,000 ujian saringan, maka 5,000 orang ini kembali dan meneruskan kehidupan mereka, apa yang akan terjadi?” soalnya.

“Kita memerlukan hasil ujian secepat mungkin dan segera melakukan pengesanan kontak rapat atau jika tidak, itu akan membuang tenaga dan masa.

“Semua perkara yang dilakukan hanyalah sia-sia,” katanya.

Sebagai contoh katanya, Sibu dapat melakukan kira-kira 2,000 ujian calitan setiap hari tetapi Hospital Sibu hanya dapat menyiapkan kira-kira 1,000 ujian setiap hari sementara selebihnya harus dihantar ke makmal luar Sibu.

Keadaan itu jelasnya, menyebabkan kelewatan untuk mendapat keputusan ujian saringan tersebut.

Wong juga mengatakan beliau bersetuju jika Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) kali kedua dilakukan sekiranya keadaan semakin buruk.

Namun kerajaan mesti menyediakan pelbagai bantuan termasuk bantuan kewangan kepada peniaga kecil untuk memastikan mereka dapat mengatasi ketiadaan penadapatan dalam masa yang sukar ini, tambahnya.

Sementara itu ADUN Bukit Assek Irene Chang berkata, semua pemimpin daripada Parti Tindakan Demokratik (DAP) bersedia bekerjasama dengan kerajaan.

“Ini adalah perjuangan semua orang, ini bukan pertarungan politik.

“Ini bukan sesuatu yang boleh dipolitikkan pada masa ini, kita semua bersedia untuk bekerjasama,” katanya.