Berita

Sibu belum berjaya ratakan lekuk graf COVID-19
Tarikh : 22 Feb 2021  Sumber Berita: The Borneo Post
 

SIBU: Penyelaras Jawatankuasa Pengurusan Bencana Bahagian Sibu Dr Annuar Rapaee mengingatkan orang ramai bahawa Sibu masih belum berjaya meratakan lekuk graf jangkitan COVID-19.

Beliau berkata, walaupun kelmarin Sibu mencatat sebanyak 53 kes iaitu ada penurunan berbanding sebelum itu tetapi ia bukan bermaksud sudah berjaya.

“Orang ramai masih perlu mematuhi prosedur operasi standard (SOP) dan terus kekal berada di rumah.

“Walaupun ada penurunan kes, ia masih belum cukup bagi kita mengatakan kita berjaya meratakan lekuk graf COVID-19.

“Justeru, kami masih melakukan pengesanan kes secara aktif (ACD) dalam skala besar di zon dikenal pasti sebagai Zon Merah di sini,” katanya bercakap pada kemas kini kes COVID-19 daerah Sibu secara maya menerusi laman sosialnya kelmarin.

Menteri Muda Kerajaan Tempatan dan Perumahan itu berkata, kerajaan masih memerlukan rakyat memainkan peranan mereka memastikan wabak itu dapat diatasi sepenuhnya.

Beliau berkata, inilah masanya bagi rakyat saling menjaga keluarga mereka dan diri sendiri bagi memastikan kes-kes COVID-19 dapat terus dihapuskan.

“Sekiranya kes berjaya dikurangkan, ini adalah kemenangan kita semua dan ini juga bukan kemenangan peribadi saya.

“Bersama-samalah kita memastikan Sibu bebas daripada COVID-19 dengan secepat mungkin,” katanya.

Sementara itu, daripada 53 kes direkodkan di Sibu kelmarin, 28 kes berada kawasan pentadbiran Majlis Perbandaran Sibu (MPS) merangkumi Zon Sukun sebanyak dua kes, Poh Yew (4), Tong Sang (2), Jalan Jalan (1), Tiong Hua (1), Tun Haji Openg (5), Awang Ramli Amit (1), Delta (4), Sentosa (1), Wong King Huo (1), Ding Lik Kong (2), Permai (1), Teku (1) dan Indah (2).

Sibu Jaya pula mencatat 11 kes kelmarin dengan lapan kes dari perumahan Town Villa, satu kes di pusat komersil dan satu kes di Terrace A.

Baki kes-kes selebihnya adalah berada di bawah kawasan pentadbiran Majlis Daerah Luar Bandar Sibu (MDLBS).

Menteri Muda Pendidikan, Sains dan Penyelidikan Teknologi itu berkata, tidak ada kes direkodkan di Flat Sibu Jaya kini dikenakan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) kelmarin kerana semua ujian calitan pusingan pertama selesai.

“Ujian saringan kedua bermula hari ini(semalam) atau Isnin (hari ini).

“Mereka diuji negatif pada ujian calitan pusingan pertama sebelum ini diwajibkan menjalani ujian calitan pusingan kedua kerana ada kemungkinan ujian kedua boleh menjadi positif.

“Mereka diuji negatif pada ujian calitan pertama hendaklah tampil membuat ujian calitan kedua,” jelasnya.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Nangka itu berkata, keputusan menentukan sama ada PKPD terus dilaksanakan atau sebaliknya ditentukan pada keputusan ujian calitan kedua.