Berita

PKPD di Kampung Jambu di Padawan dijangka bermula esok - Dr Jerip
Tarikh : 22 Feb 2021  Sumber Berita: The Borneo Post
 

KUCHING: Kampung Jambu di Padawan merupakan kampung bidayuh pertama yang akan dilaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) susulan peningkatan mendadak kes positif COVID-19 di situ.

Perkara tersebut disahkan oleh Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Mambong Datuk Dr Jerip Susil (gambar) melalui rakaman video yang dimuat naik di akaun Facebooknya hari ini.

Menurutnya, peningkatan kes tersebut adalah susulan daripada upacara pengebumian dan sambutan hari jadi yang diadakan di kampung berkenaan, baru-baru ini.

"Dipercayai ada seseorang yang positif COVID-19 dari Kuching telah hadir di dua majlis tersebut menyebabkan kes meningkat secara mendadak.

"Susulan itu, Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri Sarawak (JPBNS) membuat keputusan untuk melaksanakan PKPD yang dijangka bermuka esok," katanya yang juga Menteri Muda Pengangkutan.

Justeru, beliau memohon penduduk kampung Jambu khususnya memahami situasi tersebut dan memberikan kerjasama.

"Penduduk diharapkan dapat mengikut peraturan atau prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan.

"Manakala orang ramai yang mempunyai saudara mara di Kampung Jambu juga diharapkan memberikan kerjasama dengan menghidari berkunjung ke kampung tersebut buat sementara ini," katanya.

Beliau juga memberitahu Pejabat Residen bersama beberapa agensi terlibat termasuk Polis Diraja Malaysia (PDRM), Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) dan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) akan bermesyuarat pada jam 3 petang ini berhubung perlaksaan PKPD tersebut.