Tema: Biru dan Hijau Tema: Biru dan Hijau Tema: Merah Tema: Hijau
Text: Tambah BesarText: AsalText: Tambah Kecil
 BM  | EN

Pemaju diarah bina semula pagar rumah ikut spesifikasi perjanjian
Tarikh : 13 Mar 2020  Sumber Berita: The Borneo Post; www.mlgh.sarawak.gov.my
 

KUCHING: Tribunal Tuntutan Pembeli Rumah (TTPR) Sarawak hari ini mengarahkan sebuah syarikat pemaju membina semula pagar rumah mengikut spesifikasi perjanjian mereka bersama pembeli.

Presiden TTPR Robert Elone Sireng berkata, pemaju berkenaan diberikan tempoh dalam masa 30 hari untuk memulakan kerja pembinaan semula pagar rumah iaitu jeriji besi (MS Grill).

"Kami menerima aduan daripada 10 pengadu iaitu pembeli yang mana kebanyakan mereka mengemukakan permohonan kepada pemaju agar menggantikan pagar dawai hijau kepada pagar jeriji besi (MS Grill).

"Jika melihat kepada perjanjian pembelian mereka, memang wajar aduan dilakukan memandangkan sepatutnya semua bahagian rumah itu harus dipagar menggunakan pagar jeriji, iaitu dari depan hingga ke belakang rumah," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas perbicaraan antara pembeli dan syarikat pemaju berkenaan di Mahkamah TTPR di bangunan Dewan Undangan Negeri (DUN) lama di sini, hari ini.

Dalam kes berkenaan, pemaju hanya memasang pagar jeriji dibahagian hadapan rumah tetapi bahagian tempat letak kereta serta belakang dipasang pagar dawai yang tidak mengikut spesifikasi perjanjian.

Menurut Robert, selain aduan berkaitan pagar berkenaan, dua daripada pembeli yang hadir turut mengemukakan aduan berkaitan cacat mutu kerja sehingga menimbulkan keretakan serta kebocoran dalam bilik rumah dibeli.

Sementara satu lagi kes melibatkan seorang pembeli berkaitan dengan lewat serah milikan (LAD) daripada pemaju, iaitu kelewatan sehingga 129 hari.

Bagaimanapun bagi kedua-dua kes berkenaan katanya, TTPR mengarahkan pemaju untuk menyelesaikan perkara berkenaan dalam tempoh 30 hari.

Sementara itu, ahli panel yang turut hadir perbicaraan, Simon Woon pada sidang media yang sama memberitahu tribunal memutuskan cara terbaik dalam menyelesaikan kes berkenaan.

"Kami mengarahkan kepada pemaju supaya meneliti semula dan membina pagar mengikut spesifikasi kepada pembeli berbanding dengan pampasan wang.

"Pada masa yang sama kami harus berlaku adil kepada kedua-dua pihak, sama ada pembeli atau pemaju supaya pembeli dilindungi dan pemaju juga dijaga," katanya.